Jumaat, 12 Oktober 2012

Syaitan-Malaikat: Abdul Hadi jawab Tun Mahathir


Syaitan-Malaikat: Abdul Hadi jawab Tun Mahathir
DATUK SERI ABDUL HADI AWANG
19 September 2012
Hadi: PM tetap Melayu Islam jika Pakatan menang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KENYATAAN bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menjadikan syaitan yang dikenali sebagai rakan yang didampingi lebih baik daripada berkawan dengan malaikat yang tidak dikenali perlu dilihat secara positif, khususnya oleh pendokong Umno.

Kata-kata itu bersumberkan pepatah barat yang  diucapkan oleh mendiang Winston Churchil, mantan Perdana Menteri Britain ketika perang dunia kedua. Apabila sangat terdesak di peringkat  awal menghadapi kemaraan tentera Jerman, lalu beliau mengizinkan bersahabat dengan negara pernah bermusuh dengan Britain seperti Perancis dan lain-lain.

Mengikut kaedah Usul Feqh Islam, sesuatu dalil itu perlu dilihat dalam dua aspek. Mantuq (yang dilafazkan atau diucap) dan Mafhum (yang difahami). Kadang-kadang diambil mafhum yang berlawanan dengannya.

Saya berpendapat secara positif daripada kenyataan yang jelas itu memberi mafhum, supaya ahli Umno yang beragama Islam meninggalkan Umno dan menjadikan Pas sebagai gantinya, sekiranya tidak mampu melawan syaitan yang ada dalam Umno atau menghapuskannya bagi menyelamatkan Umno. Ini kerana bersama syaitan akan membawa akibat buruk di dunia dan akhirat bagi seseorang Islam.

Pas adalah parti manusia bukan parti malaikat dan bukan parti syaitan. Manusia yang diajar dan ditarbiyah oleh ALLAH sejak bapa dan ibu yang pertama-tamanya iaitu Adam dan Hawa. ALLAH mengajar Adam mengenal Tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.

Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada ALLAH seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistemewaan ditugaskan menjadi Khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Terpenting daripada khalifah itu ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama ALLAH (Al Din).

Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan ALLAH. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.

ALLAH memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada ALLAH dan tidak sekali-kali menderhakai ALLAH. Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. ALLAH juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.

Al-Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati ALLAH, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia.

Menunjukkan sikap berlumba mentaati ALLAH. Apabila  ALLAH mendedahkan kelebihan Adam  kepada para malaikatnya, Adam makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas dibumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza dengan kejadian malaikat. Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawadu’ dihadapan Allah serta memuji dan bertasbih. ALLAH mengesahkan dengan firmannya:

وَعَلَّمَ آَدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (31) قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (32) قَالَ يَا آَدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ (33)

(Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata :”Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui malainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami “. Allah berfirman kepada Adam :” ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya “. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman :” Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?). (Al-Baqarah: 31-33).

ALLAH tidak dengan segera menghantar  Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiyah di syurga, menikmati sifat–sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat.

ALLAH juga mengajar dan tarbiyah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya dikalangan syaitan, jin dan manusia, yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.

Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap ALLAH. Apabila ALLAH memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah ALLAH. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud.

Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: enggan (derhaka), takabbur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan). Seterusnya ALLAH memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu  dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda.

Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan  segala cabarannya. ALLAH memberi hidayah kepada Adam dan Hawa  kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, dikalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong, yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada ALLAH.

Adam dan para Rasul yang dilantik membawa petunjuk ALLAH yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat disamping  beriman kepada ALLAH dan rukun-rukun iman yang lain. Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja menganalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna  memusuhi ALLAH dan Rasulnya.

Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat.

Umno diakui oleh Tun Mahathir ada syaitan yang dikenali. Rosaknya hingga ke usus, dilanda rasuah dalaman di semua peringkat dalam pemilihan  daripada cawangan, bahagian, sehinggalah tertinggi.

Namun tidak bersedia dirawat atau berundur bagi mengislahkan diri saperti semua parti dalam negara demokrasi tulen. Sebaliknya tetap mempertahankan kuasa dengan apa sahaja termasuk meggoda pengundi dengan rasuah pilihanraya, menaikkan pangkat kepada jentera kerajaan yang membantu  kemenangannya, menipu undi demi kemenangan dan menggunakan media menutup kebatilan. Ia hanya menyatakan apa yang benar dilakukan secara menggoda. Sehinggalah rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil ketika mengundi.

Al-Marhum Tunku Abdul Rahman, Presiden pertama Umno dan Bapa Kemerdekaan meninggalkan Umno. Oleh kerana usianya panjang, beliau sempat melihat tanda-tanda awal penyakit yang ada pada Umno, diikuti oleh ramai lagi para pemimpin yang sedar dan peka.

Tun Mahathir pula sudah dua kali keluar masuk Umno. Semuanya sudah cukup bagi ahli Umno membuat keputusan untuk tidak bersama syaitan yang sudah dikenali dan berusaha bersama manusia Pas memohon pertolongan ALLAH dan para malaikat yang nyata baiknya bagi menyelamatkan negara dan bangsa bersama Islam yang termaktub dengan nyata dalam kitab ALLAH dan huraian Rasulullah S.A.W. dalam Sunnahnya yang nyata. Inilah panduan tertinggi Pas, dicatat dalam undang-undang tubuhnya .

Apabila wajib beriman kepada malaikat  dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya dikalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat. Maka jadikan kenyataan Tun Mahathir mengikut mafhumnya adalah nasihat dan amaran.

Ini kerana kalau difahami secara nasnya, sangat bercanggah dengan nas al-Quran. Hadis Rasulullah SAW. yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan al-Quran. ALLAH berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam, termasuk dianjurkan oleh Umno, maksudnya:
60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

61. "Dan (aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan Yang Lurus.

62. "Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?. (Surah Yaasin: 60-62)

ALLAH juga mendedahkan di antara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman ALLAH, maksudnya:

208. Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya;) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. (Al Baqarah: 208).

ALLAH juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya, maksudnya:

268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurniaNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.) (Al Baqarah: 268).


*Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Presiden Pas: 'Amat bodoh kalau ditipu syaitan dikenali' ABDUL HADI AWANG


Presiden Pas: 'Amat bodoh kalau ditipu syaitan dikenali'
ABDUL HADI AWANG
12 Oktober 2012
PARA ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda :
لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا لو دعيت به في الاسلام لأجبت.
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 258 ).

(Sesungguhnya aku pernah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jud’aan satu persefahaman, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya).

Peristiwa bersejarah ini berlaku dimasa jahiliyah, ketika Rasulullah S.A.W. belum dilantik menjadi Rasul dalam usia dua puluhan. Apabila  bapa-bapa saudara baginda  membawanya menyertai pertemuan khusus di kalangan pemimpin utama Makkah. Rasulullah S.A.W. diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi  diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Makkah daripada Qabilah Zubaid  Yaman yang berniaga, dizalimi oleh seorang bangsawan Makkah  bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan kenalannya kerana kedudukan bangsawanan si zalim itu. Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Makkah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari oleh para pemimpin Makkah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud’aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half Al Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah S.A.W. bersabda  tersebut diatas dengan huraiannya: (Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam  Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya).
Rasulullah S.A.W. juga bersabda secara umum:
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها .(ابن ماجه).
(Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya).
Di atas konsep inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima persefahaman  tersebut walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliyah. Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliyah dan kalangan yang berperikemanusiaan  daripada berbagai bangsa bukan Islam seperti melayan utusan daripada negara luar  termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam. Rasulullah S.A.W. juga menyatakan sempadan dengan sabdanya:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا وأحل حراما (البخاري وغيره).
(Orang-orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab diatas segala syarat yang mereka tetapkan, malainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).
Pas adalah parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (Perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan  dengan ajaran Islam. Maka Pas tidak boleh disamakan dengan Umno.
Begitu juga hubangan Pas dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan di antara komponen Barisan Nasional yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada al- Quran dan Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias.
Hubungan Pas dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan tahaluf  yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan Rakyat adalah satu muafakat politik dalam konsep tahaluf  siyasi  yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum Feqah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara  yang dialami oleh seluruh rakyat seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, mesyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang mewakili Melayu Islam dalam Barisan Nasional mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak mebezakan diantara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam. Islam pernah memperkasakan Arab dan Arab tumbang setelah menjadikan  Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melempah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama Pas Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama Umno, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat  gatal.
Cukuplah menegakkan Islam ala Umno yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara  hantu  yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama Umno, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu  dan mewarisi kemerdekaan  yang diletak diatas dulang  emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga. Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walau pun disembunyikan dibawah tikar yang hina.
Pas ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. Pas tetap Istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia. Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat ALLAH kepada seluruh alam. Pas boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh mengikut batas-batas ALLAH.
Pas pernah bersama Umno di tahun 70-an dan menubuhkan Barisan Nasional bersama Umno dan rakan-rakannya. Penyertaannya  dengan keputusan Muktamar Khas  supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama Umno, Pas memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk  ahli Parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama Umno.
Kemudian Pas dihalau keluar daripada Barisan Nasional tahun 1978 dan selepas itu kerajaan Pas Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh Umno dan rakan-rakannya melalui sidang khas Parlimen dan pilihan raya khas  selepas itu. Lalu Pas bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. Pas adalah tersendiri, tidak sama dengan Umno.
Maka Pas tidak perlu berkiblat ke arah Umno dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya Pas tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi Pas memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
Pas pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada Umno. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Pas, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya Pas mengadakan  tahaluf  siyasi bersama PKR yang juga berpecah daripada Umno. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.
Pas mengucapkan terima kasih kepada Umno dan media yang menjadi khadamnya kerana sangat bersimpati terhadap Pas kerana kononnya bimbang  Pas akan menjadi parti melukut di tepi gantang.
Percayalah orang Melayu Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama- sama dengan Pas selagi Pas tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama Umno sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang  dan lain-lain.
Kaum lain di kalangan bukan Islam pula jangan takut bersama Pas kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam Umno atau bersekongkol bersama Umno.
Di sepanjang kerjasama Pas dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walaupun ditendang dan dipandang lekeh. Kerjasama PAasdalam BN di awal tahun 70-an dan sehingga akhirnya tidak rugi dengan kehilangan Kelantan setelah Pas ditendang keluar.
Pengaruh Pas dalam kerajaan berjaya masuk ke dalam jasad jentera kerajaan dan institusi pengajian dalam negara dan luar negara dan bertunjang sehingga hari ini dan mereka adalah bakal menjadi jentera pentadbiran Pas dalam Pakatan Rakyat sekiranya berjaya.
Kerjasama Pas bersama Angkatan perpaduan Ummah (Parti Melayu Semangat-46 dan DAP) tahun 90-an berjaya menawan Kelantan sehingga hari ini. Kerjasama Pas dengan Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada tahun 1999 walaupun hanya satu penggal kerana ditumbangkan dengan zalim.
Tahun 2008 pula berjaya menawan lima negeri dan Pas memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Manakala Selangor dipimpin  PKR dan DAP memimpin Pulau Pinang. Walaupun dijatuhkan begitu rupa di Perak. Inilah sinario tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini.
Kerjasama tahaluf siyasi mutakhir ini berjaya memecahkan tembok yang melindungi pandangan bukan Islam terhadap Islam. Usaha media berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu beragama Islam bagi mengelirukan menemui kegagalan.
Sehingga akhirnya mendedahkan kepura-puraan Umno berjuang menegakkan hukum hudud laksana ayam jantan kukuk berderai pada hal ekornya bergelimang tahi sejak lebih 50 tahun. Sebenarnya Umnolah penghalang besar kepada perlaksanaan Islam kerana telah berkuasa diperingkat negeri dan pusat.
Ketahuilah bahawa pengajian politik bukan sahaja tersurat dalam tulisan buku dan pengajian akademik di bilik kuliah. Terpenting  juga ialah ijtihad dengan Istiqamah ditengah medan perjuangan. Pas mempunyai semua aspek ini dengan beristiqamah kepada ajaran Islam yang menjadi akidah dan teras kepada semua amalannya.
Negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri paling lama diperintah oleh Pas sejak tahun 1959 sehingga 1977 dan kali kedua 1990 sehingga kini adalah penyumbang besar kepada kejayaan Melayu Muslim dalam bidang pendidikan, perkhidamatan awam, keselamatan  dan ekonomi.
Diikuti pula Terengganu Tahun 1959 sehingga 1961 dan kali kedua 1999 sehingga 2004 dan Kedah 2008 sehingga kini. Apabila giliran Pas dikurniakan kemenangan di negeri-negeri ini maka secara automatik  menjadi sasaran Umno bagi melemah dan menjatuhkannya diatas nama Melayu dan Islam. Paling malang menggunakan kedudukannya menguasai kerajaan pusat dan melanggar konsep demokrasi dan federalisme.
Mengepung media dan menyusahkan pentadbiran dan kewangan negeri-negeri ini, sehinggalah merampas royalti petroleum di Terengganu dan menafikan hak Kelantan. Namun perkara ini  tidak pernah dilakukan kepada Singapura ketika dalam Malaysia, Pulau Pinang di bawah  Gerakan sebelum BN dan Sabah dibawah PBS. Inilah hakikat Umno dengan Melayu dan Islam anutannya.
Kepada semua pihak yang bersimpati dengan Pas, saya tegaskan, percayalah kepada kami dengan semua pengalaman yang  tersebut dan hilangkan khurafat beriman kepada Umno parti Maha Esa.
Kepada ahli dan penyokong Pas saya nasihatkan supaya merujuk kepada sumber ilmu Islam yang ada dalam Pas, bukannya belajar melalui media yang bersukan dengan Islam dan berniaga dengan politik. Pas tetap berpegang bahawa politik adalah amanah terbesar daripada ALLAH. Bahagialah mereka yang menunaikannya dengan istiqamah dan celakalah mereka yang mengkhinatinya. Pikul amanah ini secara berjamaah jangan berseorang diri dan memencilkan diri.
Pesanan Rasulullah S.A.W.  “sesiapa yang memencilkan  diri daripada jamaah  akan ditawan syaitan, laksana serigala yang menawan kambing yang terpencil daripada kawanannya.” Maka amat bodoh kalau ditipu oleh syaitan yang dikenali.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.