Rajagobal gembira pemain bangkit
NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
29 November 2012
29 November 2012
Aksi pemain Laos ketika bersaing menanduk bola dalam saingan malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
Kunanlan (kiri) cuba mengasak pemain Laos ketika perlawanan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
Ketua jurulatih negara Datuk K.Rajagobal
JURULATIH skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal melahirkan rasa kegembiraan melihat kebangkitan anak buahnya yang berjaya mencatat kemenangan besar ke atas Laos dalam perlawanan kedua Piala AF Suzuki, malam tadi.
Jelasnya, dengan kemenangan itu nyata memberi mereka satu semangat yang tinggi terutamanya bagi menghadapi aksi terakhir kumpulan B menentang musuh tradisi, Indonesia Sabtu ini.
"Saya gembira dengan kemenangan ini, ia menghidupkan peluang untuk kami mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki.
"Apa pun, saya mahu pemain melupakan kemenangan ini dan fokus terhadap perlawanan menentang Indonesia.
"Ini kerana saya fikir perlawanan menentang Indonesia tidaklah mudah seperti yang disangkakan," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya perlawanan menentang Laos di Stadium Bukit Jalil.
Dalam saingan malam tadi, Skuad Harimau Malaya kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas membelasah Laos 4-1.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang Malaysia untuk menempah slot ke separuh akhir, Rajagobal bagaimanapun optimis dan yakin pasukannya masih berpeluang untuk melepasi peringkat kumpulan.
"Sebagai jurulatih, saya masih yakin dan optimis dengan prestasi pasukan kita.
"Pemain telah tunjukkan kebangkitan malam ini, jadi saya yakin prestasi ini akan kekal sehingga kita mencapai kejayaan," katanya yang turut memuji prestasi keseluruhan pemain pada perlawanan tersebut.
"Semua pemain menunjukkan kerjasama yang sangat bagus, mereka semua bekerja keras untuk menghasilkan kemenangan kepada negara.
"Saya gembira dengan peningkatan ini terutama persembahan yang ditunjukkan oleh Wan Zack Haikal dan Kunnalan. Mereka sangat bagus," jelas beliau.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.